The beautiful thing about learning is that no one can take it away from you- B.B King
Apa itu ilmu? Jika diteliti takrifan yang dikemaskan balik oleh Prof Syed Muhammad Naquib al-attas mengambil takrifan oleh Imam Fakhruddin al-Razi, ilmu itu ialah :
" Merujuk kepada Allah sebagai asal segala ilmu, ia (ilmu) adalah ketibaan makna sesuatu ke dalam diri seseorang. Apabila merujuk kepada diri sebagai pentafsir, ilmu adalah ketibaan diri seseorang kepada makna tentang sesuatu."
Ilmu dan maklumat adalah dua perkara yang berbeza. Insan yang bermaklumat masih berada di peringkat taklid (akan dikupas pada artikel yang lain ) manakala insan yang berilmu berdasarkan takrif yang dinyatakan di atas ialah ilmu itu memberi makna kepada diri.
Sebagai contoh, komputer yang mempunyai keupayaan memori 300 GB mampu menyimpan beribu-ribu malahan jutaan file merangkumi pelbagai bidang seperti tafsir, hadis, matematik, fizik dan sebagainya. Namun adakah hal ini kita akan katakan komputer adalah alat yang berilmu? Tentu sekali tidak! kerana apa yang terkandung dalamnya tidak sama sekali menatijahkan manfaat pada diri komputer tersebut.
Nabi s.a.w juga mengajar ummatnya supaya sentiasa mengadu pada Allah untuk dijauhkan daripada ilmu-ilmu yang tidak bermanfaat. Bagi penulis, modal umur dan masa kita ini cukup singkat. Usahlah dibazirkan dengan perkara-perkara tercela bahkan usah dibazirkan dengan menyibukkan dengan ilmu yang langsung tidak memberi manfaat.
Daripada Abu Hurairah r.a bahawa beliau berkata antara doa nabi s.a.w adalah " wahai tuhanku, aku berselindung dengan Mu daripada ilmu yang tidak bermanfaat, doa yang tak didengari, hati yang tak kusyuk dan nafsu yang tak pernah puas ." Hadis riwayat Muslim dalam sahihnya.
Seterusnya merujuk pada tulisan artikel Ustaz Raja Ahmad Mukhlis, " Ilmu yang bermanfaat ada pada dua bentuk iaitu: pada ilmu yang berbentuk kefahaman dan pada bentuk praktikal. Maka, ilmu yang bermanfaat berbentuk kefahaman adalah, pernyataan yang jelas dan benar dalam hati seseorang samada dengan perasaan (zauq ) atau penyaksiaan mata hati (syuhud) atau keyakinan. Adapun bagi ilmu berbentuk praktikal, maka ilmu yang bermanfaat baginya adalah jika ilmu itu membawa kepada kekuatan untuk mengamalkannya atau adanya bantuan Allah s.w.t dalam diri seseorang untuk menterjemahkannya dalam bentuk amalan."
Manakala dalam pengertian budaya ilmu memetik kenyataa Prof Wan Mohd Nor Wan Daud dalam buku Penjelasan Budaya ilmu, budaya ilmu adalah " kewujudan satu keadaan yang setiap lapisan masyarakat melibatkan diri baik secara langsung mahupun tidak langsung, dalam kegiatan keilmuan bagi setipa kesempatan. Budaya ilmu juga merujuk kepada kewujudan satu keadaan yang segala tindakan manusia baik di tahap individu, apatah lagi diperingkat masyarakat, diputuskan dan dilaksanakan berdasarkan ilmu pengetahuan sama ada melalui pengkajian mahupun syura."
Budaya-budaya ini yang menyedihkan tidaklah terdapat di negara-negara Islam zaman milenium ini. Jika kita menziarahi atau bercuti di negara-negara Islam atau paling tidak jauh di negara kita sendiri, amat sukar untuk kita melihat masyarakat yang 'lepak' di kedai kopi sambil berdialog antara satu sama lain seputar ilmu yang dimiliki mahupun juga budaya membaca sebagai wahana budaya ilmu yang ternyata amat kurang sekali. Yang kita jumpa hanyalah, krisis pencemaran alam sekitar, kemalasan bekerja, kes-kes jenayah yang meningkat yang memberi gambaran krisis keruntuhan moral natijah ilmu yang langsung tidak memberi manfaat!
Masyarakat yang berilmu bukan sahaja bijak berwacana mahupun berdialog namun pandai mempersembahkan idea-idea daripada pemikir-pemikir/ilmuan dalam bahasa orang awam. Hal ini memerlukan sama sekali turunya juga para pemikir dan ilmuan untuk turun memberi gerakan pecerahan bukanlah semata-mata beridea melangit tanpa berpijak kebumi dan bersikap akademik sehaja.
Budaya ilmu ini adalah sumber kekuatan sesuatu peradaban. Melaluinya lah dibina peradaban Yunani, Yahudi, Cina, India malahan Islam sendiri satu tika yang lalu. Bahkan kebangkitan Barat selepas mengalami zaman kegelapan ( dark of age ) ke zaman kebangkitan dan pencerahan ( renaissance & enlinghtment ) sehinggalah zaman sekarang mereka masih mendominasikan hampir kesemua aspek lapangan dan masyarakat Islam khususnya terpaksa menjadi pak turut terhedak kehendak-kehendak barat.
Dalam surah al-alaq Allah berfirman Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu Yang menciptakan (sekalian makhluk),(1) Dia menciptakan manusia daripada sebuku darah beku, (2) Bacalah, dan Tuhanmu yang Maha Pemurah,(3) Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, (4) Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya (5).
Dan juga ungkapan-ungkapan seperti knowledge is power memainkan peranan gambaran akan kepentingan budaya ilmu dalam setiap tamadun peradaban. Jika tuhan kita sendiri Allah s.w.t berfirman dengan wahyu pertama itu mengenai Bacalah! dan bukannya Berimanlah, Beringatlah! Berdakwahlah! dan sebagainya kita sebagai hamba dalam memahami dengan mudah sungguh amat penting budaya ilmu sebagai senjata utama jika kita ingin terus bangkit dalam era yang malang bagi ummat islam ini
Kepentingan budaya ilmu ini juga untuk melepaskan diri masyarakat itu daripada satu tamadun yang jahil menuju tamadun yang berilmu. Bagi Prof Dr Wan Mohd Nor Jahil atau bebal ini bukan merujuk kepada ketiadaan maklumat dan fakta yang betul tetapi lebih penting lagi merujuk kepada sifat rohaniah yang rendah dan degil walaupun mempunyai maklumat yang betul dan cukup.
Prof Syed Husein al-Attas dalam bukunya Intelektual Masyarakat Membangun menyenaraikan 12 ciri bebalisme yang disimpulkan:
1- Tidak mampu mengenali masalah
2- Jika diberitahu, dia tidak berupaya menyelesaikannya
3- Tidak mampu mempelajari apa yang diperlukan malah tidak memiliki kemahiran belajar.
4- Tidak mengaku kebebalannya.
5- Tidak boleh menghubung-kaitkan sesuatu dalam konteks ruang dan waktu dengan faktor lain.
6- Hanya memberikan tindak balas kepada suasana sementara tetapi tidak memikirkan akibat/perkiraan jangka panjang
7- Berfikir hanya melalui sebab terhad dan tidak melalui urutan sebab-akibat.
8- Terpenjara dengan tabiat sendiri tanpa berfikir secara kritis tentang asas pemikirannya.
9- Tidak berfikir dengan mendalam
10- Tidak konsisten
11- Tidak mempunyai tenaga akal dan hanya menurut apa yang mudah.
12- Tidak berupaya berbicara dengan abstraksi yang tinggi tanpa menentang hakikat.
Bersambung..
ilmu itu dengan cinta dan kasih sayang
Ahmad Farhan B Ludin
Presiden Ikatan Mahasiswa Darul Naim UTM ( IMDAN UTM )
No comments:
Post a Comment