Friday, November 29, 2013

Biblioholisme : Seputar Gerakan Islamis Kampus



          Gerakan Islamis ini saya merujuk kepada sekolompok muslim yang berusaha untuk menerapkan kembali nilai-nilai Islam dalam lapisan masyarakat mahupun segenap tempat hingga ke peringkat sejagat. Mereka yang menyahut seruan gerakan awal  pasca kejatuhan khalifah uthmaniah seperti gerakan asyahid Hasan al Banna, Syed Qutb, al-Maududi, dan lain-lain sehinggalah sampai ke hari ini. Mereka ini yang terkesan dengan faham Negara Islam iaitu penerapan nilai Islam dalam perlembagaan dan mengambil jalan tengah yang aman walaupun tidak dinafikan ada pecahan dari kumpulan ini kerana lebih selesa akan pendekatan ekstrim. Manakala gerakan islamis kampus ialah pengkhususan para mahasiswa islamis untuk menerapkan idea-idea gerakan induk kepada mahasiswa di sekitar kampus fokusnya

          Hari terus berlalu, zaman baru terus mendatang. Yang usang jika tidak dijaga dan dipelihara pasti reput dimamah anai-anai, paling tidak buruk mata memandang. Tulisan ini sekadar menjengok dan memberi semangat terutama kepada gerakan islamis di kampus kerana saya juga berasal daripada rahim usrah gerakan ini agar mereka sentiasa bersedia ancaman kontemporer daripada segenap sudut. Persediaan ini yang dimaksudkan   ialah kesedian intelek diri dengan meratah pelbagai bahan bacaan kerana seorang ahli gerakan itu mestilah bersifat hafizun 'alim ( berintegriti dan berilmu )

Soroton Sekitar Buku Terpilih Pemikir-Pemikir Islam

          Tokoh yang paling dikenali  iaitu Asyahid Imam Hasan al-Banna, mungkin ada antara kita yang terlupa jika teliti Majmu Rasail ( Himpunan Risalah Dakwah ) kita pasti mengagumi keunggulan ilmu daripada imam Hasan al-Banna. Asyahid sendiri memetik kepelbagaian bahan bacaan dan pendapat dari luar seperti Descarte, Newton dan sebagainya.

          Begitu juga dengan tokoh ulama India Syeikh  Abu Hasan Ali an-Nadwy, karyanya seperti Maadza Khasiral 'alamu Bin Nithathil Muslimin (kerugian dunia kerana kemunduran umat islam ) sepatutnya menjadi motivasi kepada kita sebagai ahli gerakan disamping mengambil input-input penting dalam buku tersebut menggambarkan kesungguhan meratah pelbagai bahan bacaan. Bukan sahaja memetik pandangan-pandangan setempat, malah syeikh juga merujuk buku-buku tulisan mereka yang menganut worldview Barat seperti Dr -Alfred G Batler(Bukunya penaklukan Arab atas Mesir ), Dr Gustave La Bonn (bukunya Hadharatul Arab ), Robert  Briffault ( bukunya the making of humanity )  dan sebagainya. Kesungguhan ini menggambarkan tahap serius seorang pemikir untuk membawa pencerahan kepada ummah kerana kita harus tahu kita bukan hanya berdepan dengan serangan senjata dari musuh namun lagi merunsingkan kita ialah serangan pemikiran Barat yang nak tak nak memaksa kita mempersiapkan diri kita untuk terjun ke lembah fikir  faham barat ini. Sudah menjadi biasa jika dalam buku ini kita akan berjumpa juga dengan petikan-petikan dari buku A short History of The World, Encylopedia of Britanica, The Discovery of India, The History of Decline and Fall of The Roman Empire dan lain-lain.

          Tidak asing juga ialah seorang tokoh gerakan dan reformasi pendidikan  Syeikh Muhammad abduh dengan karyanya al-Islam wal Nashraniyyah Ma'a al-I lmi Wal Madaniyyah ( Ilmu Pengetahuan Menurut Islam dan Kristien ) yang memuatkan perbandingan antara kaum Kristien dan Islam berkenaan pengaruh ilmu sehinggalah menyentuh sejarah   falsfah Yunani, Greek dan kemajuan Ulama  Kalam Asy'ari dan Maturidi termasuk pengaruh-pengaruh konsep falsafah Ibnu Rusyd terhadap kebangkitan tamadun Barat. Kajian ini memerlukan rujukan  bacaan yang banyak daripada tulisan-tulisan sekitar zaman yang lampau hingga  ke zamannya. Ingin saya maklumkan di sini ialah ketelitian dan kerajinan syeikh  Muhammad Abduh untuk mentelaah bahan bacaan sebelum menterjemah ke atas buku ini sesuatu yang mengagumkan. Lebih menarik lagi buku beliau ini juga hanya mengambil masa sehari untuk siap ditulis ( wallohu'alam ) jadi takkan kita yang membaca tak boleh menghabiskan dalam masa sehari?



Biblioholic

          Namun semua yang dinyatakan serba ringkas di atas ini bermula daripada sifat membaca yang hebat (saya tidak mahu menghuraikan kepentingan talaqqi di sini ). Kemahuan membaca yang membuak-buak ini dipanggil biblioholisme dan para penagih buku ini pula  dikatakan mengalami sindrom biblioholic ( ketagihan buku ). Memupuk budaya ketagihan ini tidak susah. Cuma hanya memerlukan anda, buku dah tentu sekali, masa dan tempat.

Anda seharusnya sentiasa memaksa diri untuk menghabiskan buku-buku yang dibeli.
Buku anda mesti tidak bersifat picisan kerana umur yang kita ada cuma singkat tidak berbaloi dihabiskan membaca buku-buku kecil kerana anda harus sedar bahawa anda ahli gerakan memikul amanah membawa cahaya pencerahan kepada ummah tidak sewajarnya bermain-main dengan komik atau majalah mangga.
Masa & Tempat mestilah bersesuaian tanpa gangguan-gangguan luar. Jika menghadapi kekangan pandai-pandai lah mencuri masa dengan membaca sewaktu menunggu makanan yang diorder kan atau sedang menunggu laptop di 'shut down ' atau juga terpulanglah.

          Bermula dengan memaksa lah datangnya ketagihan dan sampai satu peringkat anda  semua akan mempunyai kebolehan untuk mendaftar fakta. Satu kebolehan mengumpul buku-buku pada tema yang sama dan mencari point-point yang saling berkaitan secara kritis dan ilmiah. Lalu berjalanlah aktiviti membaca itu dengan bertujuan dan bermatlamat. Ini adalah peringkat tertinggi seseorang Biblioholic.

          Allamah Iqbal yang dijuluki dengan gelaran  mufakkir-e-pakistan (pemikir dari Pakistan ) adalah seorang tokoh pemikir, ahli falsafah, politikus, reformis dan penyair terkenal. Merujuk artikel ustaz Zaharudin Nawi,

"Allamah Iqbal  pujangga Islam yang tersohor, bukan sahaja cinta kepada buku malah sudah sampai ke peringkat ishq. Beliau berjaga malam dengan lampu dan pelita hanya semata-mata untuk membaca buku. Kehidupannya persis seperti seorang pelajar walaupun sibuk dengan berbagai urusan. Sibuk sebagai sasterawan kerana beliau seorang penyair. Ilmuan kerana beliau seorang professor di universiti. Negarawan kerana beliaulah pioneer kepada kewujudan negara Pakistan. Kemasyarakatan kerana beliau seorang pegua. Beliau membaca buku daripada berbagai-bagai disiplin ilmu. Suatu hari Allamah Iqbal ditanya oleh seseorang, " Apakah hasil kesudahannya tuan mentelaah buku begitu banyak sekali? " Beliau menjawab, "Yeh to muje dusri dunya main bhi kaam dega" ( ini juga akan memberi faedah kepada saya di alam dunia lain nanti ). Oleh itu membaca buku mengikut Iqbal bukan hanya sekadar untuk menambahkan ilmu pengetahuann malah ianya ada sentuhan akhirat. Kepada mereka yang sibuk dengan aktiviti - aktiviti Islam janganlah anda tandus membaca . Anda mungkin tidak sesibuk Allamah Iqbal untuk tidak mempunyai masa yang cukup untuk membaca ."

          Sebagai ahli gerakan islam kampus, kita mestilah berani mentelaah dengan memaksimumkan masa yang ada untuk  buku-buku ilmiah yang ada. Kita boleh bermula dengan buku-buku yang ditulis dalam bahasa Melayu. Kita masih mempunyai ramai sarjana-sarjana yang menulis dalam bahasa ini. Jangan susah-susah mentelaah buku-buku asing. Insya Allah lama-kelamaan ketagihan membaca pelbagai genre bacaan mengikut jenis bahasa pasti timbul dalam diri kita. Saya teringat kata-kata kawan yang menegur saya,

" jangan bazirkan masa dengan  baca buku-buku picisan, cari buku-buku berat dan baca. "

Sekian

Nur Aziza Binti Mohd Azhar
Tim Presiden Ikatan Mahasiswa Darul Naim

Ilmu itu dengan cinta dan kasih sayang


No comments:

Post a Comment