Friday, November 29, 2013

Biblioholisme : Seputar Gerakan Islamis Kampus



          Gerakan Islamis ini saya merujuk kepada sekolompok muslim yang berusaha untuk menerapkan kembali nilai-nilai Islam dalam lapisan masyarakat mahupun segenap tempat hingga ke peringkat sejagat. Mereka yang menyahut seruan gerakan awal  pasca kejatuhan khalifah uthmaniah seperti gerakan asyahid Hasan al Banna, Syed Qutb, al-Maududi, dan lain-lain sehinggalah sampai ke hari ini. Mereka ini yang terkesan dengan faham Negara Islam iaitu penerapan nilai Islam dalam perlembagaan dan mengambil jalan tengah yang aman walaupun tidak dinafikan ada pecahan dari kumpulan ini kerana lebih selesa akan pendekatan ekstrim. Manakala gerakan islamis kampus ialah pengkhususan para mahasiswa islamis untuk menerapkan idea-idea gerakan induk kepada mahasiswa di sekitar kampus fokusnya

          Hari terus berlalu, zaman baru terus mendatang. Yang usang jika tidak dijaga dan dipelihara pasti reput dimamah anai-anai, paling tidak buruk mata memandang. Tulisan ini sekadar menjengok dan memberi semangat terutama kepada gerakan islamis di kampus kerana saya juga berasal daripada rahim usrah gerakan ini agar mereka sentiasa bersedia ancaman kontemporer daripada segenap sudut. Persediaan ini yang dimaksudkan   ialah kesedian intelek diri dengan meratah pelbagai bahan bacaan kerana seorang ahli gerakan itu mestilah bersifat hafizun 'alim ( berintegriti dan berilmu )

Soroton Sekitar Buku Terpilih Pemikir-Pemikir Islam

          Tokoh yang paling dikenali  iaitu Asyahid Imam Hasan al-Banna, mungkin ada antara kita yang terlupa jika teliti Majmu Rasail ( Himpunan Risalah Dakwah ) kita pasti mengagumi keunggulan ilmu daripada imam Hasan al-Banna. Asyahid sendiri memetik kepelbagaian bahan bacaan dan pendapat dari luar seperti Descarte, Newton dan sebagainya.

          Begitu juga dengan tokoh ulama India Syeikh  Abu Hasan Ali an-Nadwy, karyanya seperti Maadza Khasiral 'alamu Bin Nithathil Muslimin (kerugian dunia kerana kemunduran umat islam ) sepatutnya menjadi motivasi kepada kita sebagai ahli gerakan disamping mengambil input-input penting dalam buku tersebut menggambarkan kesungguhan meratah pelbagai bahan bacaan. Bukan sahaja memetik pandangan-pandangan setempat, malah syeikh juga merujuk buku-buku tulisan mereka yang menganut worldview Barat seperti Dr -Alfred G Batler(Bukunya penaklukan Arab atas Mesir ), Dr Gustave La Bonn (bukunya Hadharatul Arab ), Robert  Briffault ( bukunya the making of humanity )  dan sebagainya. Kesungguhan ini menggambarkan tahap serius seorang pemikir untuk membawa pencerahan kepada ummah kerana kita harus tahu kita bukan hanya berdepan dengan serangan senjata dari musuh namun lagi merunsingkan kita ialah serangan pemikiran Barat yang nak tak nak memaksa kita mempersiapkan diri kita untuk terjun ke lembah fikir  faham barat ini. Sudah menjadi biasa jika dalam buku ini kita akan berjumpa juga dengan petikan-petikan dari buku A short History of The World, Encylopedia of Britanica, The Discovery of India, The History of Decline and Fall of The Roman Empire dan lain-lain.

          Tidak asing juga ialah seorang tokoh gerakan dan reformasi pendidikan  Syeikh Muhammad abduh dengan karyanya al-Islam wal Nashraniyyah Ma'a al-I lmi Wal Madaniyyah ( Ilmu Pengetahuan Menurut Islam dan Kristien ) yang memuatkan perbandingan antara kaum Kristien dan Islam berkenaan pengaruh ilmu sehinggalah menyentuh sejarah   falsfah Yunani, Greek dan kemajuan Ulama  Kalam Asy'ari dan Maturidi termasuk pengaruh-pengaruh konsep falsafah Ibnu Rusyd terhadap kebangkitan tamadun Barat. Kajian ini memerlukan rujukan  bacaan yang banyak daripada tulisan-tulisan sekitar zaman yang lampau hingga  ke zamannya. Ingin saya maklumkan di sini ialah ketelitian dan kerajinan syeikh  Muhammad Abduh untuk mentelaah bahan bacaan sebelum menterjemah ke atas buku ini sesuatu yang mengagumkan. Lebih menarik lagi buku beliau ini juga hanya mengambil masa sehari untuk siap ditulis ( wallohu'alam ) jadi takkan kita yang membaca tak boleh menghabiskan dalam masa sehari?



Biblioholic

          Namun semua yang dinyatakan serba ringkas di atas ini bermula daripada sifat membaca yang hebat (saya tidak mahu menghuraikan kepentingan talaqqi di sini ). Kemahuan membaca yang membuak-buak ini dipanggil biblioholisme dan para penagih buku ini pula  dikatakan mengalami sindrom biblioholic ( ketagihan buku ). Memupuk budaya ketagihan ini tidak susah. Cuma hanya memerlukan anda, buku dah tentu sekali, masa dan tempat.

Anda seharusnya sentiasa memaksa diri untuk menghabiskan buku-buku yang dibeli.
Buku anda mesti tidak bersifat picisan kerana umur yang kita ada cuma singkat tidak berbaloi dihabiskan membaca buku-buku kecil kerana anda harus sedar bahawa anda ahli gerakan memikul amanah membawa cahaya pencerahan kepada ummah tidak sewajarnya bermain-main dengan komik atau majalah mangga.
Masa & Tempat mestilah bersesuaian tanpa gangguan-gangguan luar. Jika menghadapi kekangan pandai-pandai lah mencuri masa dengan membaca sewaktu menunggu makanan yang diorder kan atau sedang menunggu laptop di 'shut down ' atau juga terpulanglah.

          Bermula dengan memaksa lah datangnya ketagihan dan sampai satu peringkat anda  semua akan mempunyai kebolehan untuk mendaftar fakta. Satu kebolehan mengumpul buku-buku pada tema yang sama dan mencari point-point yang saling berkaitan secara kritis dan ilmiah. Lalu berjalanlah aktiviti membaca itu dengan bertujuan dan bermatlamat. Ini adalah peringkat tertinggi seseorang Biblioholic.

          Allamah Iqbal yang dijuluki dengan gelaran  mufakkir-e-pakistan (pemikir dari Pakistan ) adalah seorang tokoh pemikir, ahli falsafah, politikus, reformis dan penyair terkenal. Merujuk artikel ustaz Zaharudin Nawi,

"Allamah Iqbal  pujangga Islam yang tersohor, bukan sahaja cinta kepada buku malah sudah sampai ke peringkat ishq. Beliau berjaga malam dengan lampu dan pelita hanya semata-mata untuk membaca buku. Kehidupannya persis seperti seorang pelajar walaupun sibuk dengan berbagai urusan. Sibuk sebagai sasterawan kerana beliau seorang penyair. Ilmuan kerana beliau seorang professor di universiti. Negarawan kerana beliaulah pioneer kepada kewujudan negara Pakistan. Kemasyarakatan kerana beliau seorang pegua. Beliau membaca buku daripada berbagai-bagai disiplin ilmu. Suatu hari Allamah Iqbal ditanya oleh seseorang, " Apakah hasil kesudahannya tuan mentelaah buku begitu banyak sekali? " Beliau menjawab, "Yeh to muje dusri dunya main bhi kaam dega" ( ini juga akan memberi faedah kepada saya di alam dunia lain nanti ). Oleh itu membaca buku mengikut Iqbal bukan hanya sekadar untuk menambahkan ilmu pengetahuann malah ianya ada sentuhan akhirat. Kepada mereka yang sibuk dengan aktiviti - aktiviti Islam janganlah anda tandus membaca . Anda mungkin tidak sesibuk Allamah Iqbal untuk tidak mempunyai masa yang cukup untuk membaca ."

          Sebagai ahli gerakan islam kampus, kita mestilah berani mentelaah dengan memaksimumkan masa yang ada untuk  buku-buku ilmiah yang ada. Kita boleh bermula dengan buku-buku yang ditulis dalam bahasa Melayu. Kita masih mempunyai ramai sarjana-sarjana yang menulis dalam bahasa ini. Jangan susah-susah mentelaah buku-buku asing. Insya Allah lama-kelamaan ketagihan membaca pelbagai genre bacaan mengikut jenis bahasa pasti timbul dalam diri kita. Saya teringat kata-kata kawan yang menegur saya,

" jangan bazirkan masa dengan  baca buku-buku picisan, cari buku-buku berat dan baca. "

Sekian

Nur Aziza Binti Mohd Azhar
Tim Presiden Ikatan Mahasiswa Darul Naim

Ilmu itu dengan cinta dan kasih sayang


Friday, November 22, 2013

Budaya Ilmu & Konsep Pendidikan Imam Al-Syatibi (i)

      
The beautiful thing about learning is that no one can take it away from you- B.B King

       Apa itu ilmu? Jika diteliti takrifan yang dikemaskan balik oleh Prof Syed Muhammad Naquib al-attas mengambil takrifan oleh Imam Fakhruddin al-Razi, ilmu itu ialah :

" Merujuk kepada Allah sebagai asal segala ilmu, ia (ilmu) adalah ketibaan makna sesuatu ke dalam diri seseorang. Apabila merujuk kepada diri sebagai pentafsir, ilmu adalah ketibaan diri seseorang kepada makna tentang sesuatu."

       Ilmu dan maklumat adalah dua perkara yang berbeza. Insan yang bermaklumat masih berada di peringkat taklid (akan dikupas pada artikel yang lain ) manakala insan yang berilmu berdasarkan takrif yang dinyatakan di atas ialah ilmu itu memberi makna kepada diri.

       Sebagai contoh, komputer yang mempunyai keupayaan memori 300 GB mampu menyimpan beribu-ribu malahan jutaan file  merangkumi pelbagai bidang seperti tafsir, hadis, matematik, fizik dan sebagainya. Namun adakah hal ini kita akan katakan komputer adalah alat yang berilmu? Tentu sekali tidak! kerana apa yang terkandung dalamnya tidak sama sekali menatijahkan manfaat pada diri komputer tersebut.

       Nabi s.a.w juga mengajar ummatnya supaya sentiasa mengadu pada Allah untuk dijauhkan daripada ilmu-ilmu yang tidak bermanfaat. Bagi penulis, modal umur dan masa kita ini cukup singkat. Usahlah dibazirkan dengan perkara-perkara tercela bahkan usah dibazirkan dengan menyibukkan dengan ilmu yang langsung tidak memberi manfaat.

Daripada Abu Hurairah r.a bahawa beliau berkata antara doa nabi s.a.w adalah " wahai tuhanku, aku berselindung dengan Mu daripada ilmu yang tidak bermanfaat, doa yang tak didengari, hati yang tak kusyuk dan nafsu yang  tak pernah puas ." Hadis riwayat Muslim dalam sahihnya.
     
       Seterusnya merujuk pada tulisan artikel Ustaz Raja Ahmad Mukhlis, " Ilmu yang bermanfaat ada pada dua bentuk iaitu: pada ilmu yang berbentuk kefahaman dan pada bentuk praktikal. Maka, ilmu yang bermanfaat berbentuk kefahaman adalah, pernyataan yang jelas dan benar dalam hati seseorang samada dengan perasaan (zauq )  atau penyaksiaan mata hati (syuhud) atau keyakinan. Adapun bagi ilmu berbentuk praktikal, maka ilmu yang bermanfaat baginya adalah jika ilmu itu membawa kepada kekuatan untuk mengamalkannya atau adanya bantuan Allah s.w.t dalam diri seseorang untuk menterjemahkannya dalam bentuk amalan."

      Manakala dalam pengertian budaya ilmu memetik kenyataa Prof Wan Mohd Nor Wan Daud dalam buku Penjelasan Budaya ilmu, budaya ilmu adalah " kewujudan satu keadaan yang setiap lapisan masyarakat melibatkan diri baik secara langsung mahupun tidak langsung, dalam kegiatan keilmuan bagi setipa kesempatan. Budaya ilmu juga merujuk kepada kewujudan satu keadaan yang segala tindakan manusia baik di tahap individu, apatah lagi diperingkat masyarakat, diputuskan dan dilaksanakan berdasarkan ilmu pengetahuan sama ada melalui pengkajian mahupun syura."

       Budaya-budaya ini yang menyedihkan tidaklah terdapat di negara-negara Islam zaman milenium ini. Jika kita menziarahi atau bercuti di negara-negara Islam atau paling tidak jauh di negara kita sendiri, amat sukar untuk kita melihat masyarakat yang 'lepak' di kedai kopi sambil berdialog antara satu sama lain seputar ilmu yang dimiliki mahupun juga budaya membaca sebagai wahana budaya ilmu yang ternyata amat kurang sekali. Yang kita jumpa hanyalah, krisis pencemaran alam sekitar, kemalasan bekerja, kes-kes jenayah yang meningkat yang memberi gambaran krisis keruntuhan moral natijah ilmu yang langsung tidak memberi manfaat!

       Masyarakat yang berilmu bukan sahaja bijak berwacana mahupun berdialog namun pandai mempersembahkan idea-idea daripada pemikir-pemikir/ilmuan dalam bahasa orang awam. Hal ini memerlukan sama sekali turunya juga para pemikir dan ilmuan untuk turun memberi gerakan pecerahan bukanlah semata-mata beridea melangit tanpa berpijak kebumi dan bersikap akademik sehaja.

      Budaya ilmu ini adalah sumber kekuatan sesuatu peradaban. Melaluinya lah dibina peradaban Yunani, Yahudi, Cina, India malahan Islam sendiri satu tika yang lalu. Bahkan kebangkitan Barat selepas mengalami zaman kegelapan ( dark of age ) ke zaman kebangkitan dan pencerahan ( renaissance & enlinghtment ) sehinggalah zaman sekarang mereka masih mendominasikan hampir kesemua aspek lapangan dan masyarakat Islam khususnya terpaksa menjadi pak turut terhedak kehendak-kehendak barat.



      Dalam surah al-alaq Allah berfirman Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu Yang menciptakan (sekalian makhluk),(1) Dia menciptakan  manusia daripada sebuku darah beku, (2) Bacalah, dan Tuhanmu yang Maha Pemurah,(3) Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, (4) Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya (5).

       Dan juga ungkapan-ungkapan seperti knowledge is power   memainkan peranan gambaran akan kepentingan budaya ilmu dalam setiap tamadun peradaban. Jika tuhan kita sendiri Allah s.w.t berfirman dengan wahyu pertama itu mengenai Bacalah!  dan bukannya Berimanlah, Beringatlah! Berdakwahlah!  dan sebagainya kita sebagai hamba dalam memahami dengan mudah sungguh amat penting budaya ilmu sebagai senjata utama jika kita ingin terus bangkit dalam era yang malang bagi ummat islam ini

      Kepentingan budaya ilmu ini juga untuk melepaskan diri masyarakat itu daripada satu tamadun yang jahil menuju tamadun yang berilmu. Bagi Prof Dr Wan Mohd Nor Jahil atau bebal ini bukan merujuk kepada ketiadaan maklumat dan fakta yang betul tetapi lebih penting lagi merujuk kepada sifat rohaniah yang rendah dan degil walaupun mempunyai maklumat yang betul dan cukup.

       Prof Syed Husein al-Attas dalam bukunya Intelektual Masyarakat Membangun menyenaraikan 12 ciri bebalisme yang disimpulkan:

1- Tidak mampu mengenali masalah
2- Jika diberitahu, dia tidak berupaya menyelesaikannya
3- Tidak mampu mempelajari apa yang diperlukan malah tidak memiliki kemahiran belajar.
4- Tidak mengaku kebebalannya.
5- Tidak boleh menghubung-kaitkan sesuatu dalam konteks ruang dan waktu dengan faktor lain.
6- Hanya memberikan tindak balas kepada suasana sementara tetapi tidak memikirkan akibat/perkiraan jangka panjang
7- Berfikir hanya melalui sebab terhad dan tidak melalui urutan sebab-akibat.
8- Terpenjara dengan tabiat sendiri tanpa berfikir secara kritis tentang asas pemikirannya.
9- Tidak berfikir dengan mendalam
10-  Tidak konsisten
11- Tidak mempunyai tenaga akal dan hanya menurut apa yang mudah.
12- Tidak berupaya berbicara dengan abstraksi yang tinggi tanpa menentang hakikat.

Bersambung..

ilmu itu dengan cinta dan kasih sayang

Ahmad Farhan B Ludin
Presiden Ikatan Mahasiswa Darul Naim UTM ( IMDAN UTM )